Sihat Secara Semulajadi

SIHAT SECARA SEMULAJADI

Selasa, 20 November 2012

Rawatan Sunnah, rawatan utama

Assalamualaikum....

Seringkali apabila kita sakit, doktor menjadi pilihan rujukan utama bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi seterusnya mengatasi masalah tersebut. Namun perlu kita ingat bahawa kesihatan diri kita ditentukan oleh diri kita sendiri kerana kitalah yang merancang dan mecorakkan kesihatan kita pada masa kini dan akan datang.

Sebagai orang Islam, syarat bagi kesembuhan pastinya bergantung pada keyakinan kita pada Pencipta dan ikhtihar seboleh mungkin kita dalam mengharungi ujian dari Allah tanpa melanggar batas syarak. Justeru keutamaan dalam kita mendapatkan rawatan haruslah diletakkan rawatan berdasarkan syariah seperti yang diajar oleh Nabi SAW. Apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW terhadap kita dalam menjaga dan merawat diri adalah sumber yang terbaik dan selamat.

Saranan Baginda agar amalan pemakanan sunnah seperti madu, zaitun, tin dan tamar memang tepat dan sesuai dengan semua lapisan manusia tanpa mengira kedudukan geografi. Ini bertepatan dengan hadis Baginda “Kesembuhan itu berada pada tiga hal, yaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan api besi panas (kay). Sesungguhnya aku melarang ummatku (berubat) dengan kay.” (HR Bukhari). Nyatalah perubatan sunnah yang disarankan oleh Baginda, lebih bersifat semulajadi.

Bergantung juga pada tamadun manusia, zaman demi zaman ditemukan dengan penawar yang diambil dari sumber semula jadi mengikut lingkungan geografi tamadun manusia itu sendiri. Ramuan seperti herba juga adalah saranan terbaik dalam ikhtihar untuk kesembuhan. Perlu kita ketahui, tubuh kita akan serasi dan sesuai dengan persekitaran tempat kita bermastautin. Sebagai contoh jika kita bermastautin di benua Afrika, maka ramuan terbaik bagi makanan kesihatan dan penawar bagi kita adalah herba yang terdapat disekeliling benua Afrika itu sendiri selepas keutamaan diletakkan pada amalan makanan dan ubatan sunnah.

Pun begitu, keberkesanan ubatan moden tidak dapat dinafikan kemujarabannya. Tapi perlu kita ingat akan penggunaan dadah terkawal dan bahan sintetik yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan moden dikhuatiri akan memberi kesan sampingan pada organ tubuh manupun sistem imunisasi tubuh kita. Ini tidak bermakna kita perlu menolak ubatan moden sepenuhnya. 

Apa yang ingin ditekankan kita sebagai pemilik tubuh harus mempunyai sedikit ilmu asas penjagaan kesihatan agar kita dapat memahami akan keperluan tubuh kita. Disamping itu keutamaan akan perlunya diberi kesedaraan betapa pentingnya perubatan sunnah perlu ditekankan. Jadi dengan gabungan tiga elemen dalam berubat iaitu perubatan sunnah, perubatan herba setempat dan perubatan moden pasti akan menjadikan kita memiliki kesihatan yang baik sebagai menghargai anugerah yang dikurniakan oleh Allah.

Wallahua'lam